KDCA cadang Pairin sebagai calon TYT

KDCA cadang Pairin sebagai calon TYT

Kota Kinabalu: Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dicadangkan sebagai calon Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang seterusnya.

Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Suman Yasambun berkata, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira faktor-faktor penting.

“KDCA telah meletakkan nama beliau sebagai calon yang kami rasakan sebagai pilihan terbaik untuk menyandang jawatan TYT, setelah melihat kepada usianya yang sudah mencecah 82 tahun dan kebijaksanaannya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri.

“Beliau juga aktif dalam mempromosikan perpaduan di antara pelbagai kaum di Sabah melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) antara lain untuk merapatkan hubungan masyarakat di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KDCA, di Penampang, hari ini.

Jelas beliau, sekiranya dipertimbangkan, Pairin akan menjadi aset yang sangat baik untuk kerajaan negeri kerana beliau merupakan individu yang tepat untuk mewakili negeri.

“Kami berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk melantik beliau sebagai TYT negeri ini.

“Hal ini kerana kami difahamkan penyandang jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dijangka akan tamat penggal sebagai Gabenor Negeri Sabah tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Suman berkata cadangan pencalonan itu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Artikel I Perlembagaan Negeri Sabah, yang tidak mensyarat keperluan fahaman kepercayaan agama jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Katanya, kedudukan itu adalah selaras dengan salah satu syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|