Kastam Sabah rampas empat kontena berisi minuman keras bernilai RM1.136 juta

Kastam Sabah rampas empat kontena berisi minuman keras bernilai RM1.136 juta

Kota Kinabalu: Mengikrar dagangan import dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

Namun taktik itu dapat dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah sekali gus menyaksikan rampasan pelbagai minuman keras bernilai RM1.136 juta dalam tiga kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada 11, 16 dan 17 Ogos lalu.

Empat kontena berisi minuman keras yang tidak berlesen dirampas JKDM Sabah di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, rampasan pertama susulan pemeriksaan menerusi imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar, jam 9.45 pagi, pada 11 Ogos lalu.

Katanya, Pasukan Penguatkuasaan, Cawangan Operasi Kota Kinabalu menahan dan pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati sejumlah 18,236 liter minuman keras yang disyaki tak berkastam dengan anggaran nilai RM284,139.95.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min ketika sidang media di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Rampasan kedua, sekali lagi bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan Pasukan Penguatkuasaan Cawangan Operasi Kota Kinabalu menahan dua kontena di Pelabuhan Sepanggar, jam 9.05 pagi pada 16 Ogos.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kontena itu mengandungi minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM594,410.86,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar, hari ini.

Menurutnya, rampasan ketiga jam 11.10 pagi, pada 17 Ogos, Pasukan Penguatkuasaan Cawangan Operasi Kota Kinabalu sekali lagi membuat penahanan terhadap sebuah kontena yang disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras di Pelabuhan Sepanggar.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut yang dijalankan, sejumlah 16,632 liter minuman keras ditemui dengan anggaran nilai harga selepas duti dan cukai berjumlah RM257,862.53.

“Jumlah keseluruhan rampasan keempat-empat kontena berisi minuman keras ini yang disyaki cuba diseludup masuk dianggarkan bernilai RM1,136,413.04,” katanya.

Tambah beliau lagi, modus operandi bagi ketiga-tiga kes ini adalah dengan cara mengikrar dagangan import dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Cheong Yu Kin berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serra dinasihati tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|