Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai gagal keluar menyelamatkan diri dari rumahnya di Kampung Tanjung Labian, Sungai Bilis, di sini, yang terbakar, hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh, 9, ditemui rentung di dalam salah sebuah daripada dua rumah yang musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Pasukan Bomba Bantuan Felda Sahabat dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 12.43 tengah hari, kebakaran didapati membabitkan dua rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 83 meter persegi dan 185 meter persegi.
“Operasi pemadaman hanya memastikan api benar-benar terpadam sepenuhnya dan dua rumah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan dan menemui seorang mangsa kanak-kanak lelaki terperangkap rentung.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 2.30 petang tadi,” katanya.
-Deasoka