Kota Kinabalu: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kecewa dengan tindakan kerajaan yang seolah-olah melambat-lambatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Tindakan kerajaan itu menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan rakyat negara ini yang sememangnya mahu RUU Anti Lompat Parti dikuatkuasakan secepat mungkin.
Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang berkata, rakyat sememangnya mendesak dan menuntut supaya RUU Anti Lompat Parti segera dibentang dan diluluskan.
Katanya, beliau turut tertanya-tanya apa sebemarnya niat Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) menangguhkan proses berkenaan.
“Negara semakin ‘hancur’ dan menjadi bahan jenaka dunia disebabkan budaya ahli politik ‘lompat katak’.
“Hanya di Malaysia di mana parti-parti yang memenangi pilihan raya menjadi pembangkang dan parti yang kalah jadi kerajaan kerana budaya ‘lompat’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan penubuhan Cawangan UPKO secara berkelompok di Paitan Sugut, di sini, semalam.
Felix berkata, tiada faedahnya budaya itu diteruskan kerana ia hanya akan membawa banyak keburukan dan ketidakstabilan politik yang seterusnya boleh menjatuhkan ekonomi negara.
Katanya, oleh sebab itu, RUU Anti Lompat Parti perlu segera dibentangkan dan diluluskan bagi mengelak lebih ramai ahli politik yang tidak berpendirian ‘melompat’ demi kepentingan sendiri.
“Kerajaan hari ini harus menghormati MoU yang ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik.
“Jika Kerajaan BN dan PN mengagalkan RUU Anti Lompat Parti, ia jelas membuktikan bahawa mereka merancang untuk meneruskan politik keji dengan ‘membeli’ wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Je-15 (PRU-15).
“Rakyat harus bangkit dan menentang sekeras-kerasnya politik kotor ini demi untuk menyelamatkan negara kita yang kini semakin parah. Laksanakan RUU Anti Lompat Parti, jangan hancurkan masa depan negara,” katanya.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat esok ditangguhkan buat kali kedua.
Bagaimanapun, dalam perjumpaan bersama pemimpin utama Pakatan Harapan pada 5 April lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Anti Lompat Parti, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob memberi komitmen bahawa tiada perubahan.
Notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat berkenaan dijadualkan pada 11 April 2022 seperti yang diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.
Sementara itu pada majlis perjumpaan UPKO Beluran, Felix menerima 500 borang keahlian baharu yang diserahkan oleh wakil pemimpin dari beberapa kampung.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Paitan Sugut yang memilih UPKO sebagai satu wadah perjuangan.
Menurut Felix, UPKO komited, telus dan fokus dalam memperjuangkan hak-hak serta kepentingan rakyat Sabah.
-Deasoka