Jangan panik beli ayam

Kota Kinabalu: Tiada keperluan pengguna di negeri ini membuat pembelian panik kerana bekalan ayam mentah ketika ini mencukupi walaupun menjelang sambutan perayaan Pesta Kaamatan esok dan lusa.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan di pelbagai peringkat termasuk peruncit dan pemborong di seluruh negeri mendapati bekalan daging ayam masih mudah diperoleh di pasar utama, pasar raya dan kedai runcit.

Pegawai KPDNHEP Sabah melakukan pemeriksaan terhadap bekalan daging ayam di pasar sekitar Sabah.

Katanya, pemeriksaan dan pemantauan bekalan ayam termasuk barang keperluan asas yang lain dijalankan setiap hari oleh KPDNHEP Sabah bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas tidak terputus dan dijual pada harga yang berpatutan.
“Di Sabah, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan di pasaran tempatan.

“Terdapat 19 penternak ayam pedaging utama yang boleh mengeluarkan sebanyak tiga juta ekor ayam sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Georgie turut berkata, berdasarkan laporan
harian pemeriksaan ayam di seluruh Sabah, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan adalah dianggarkan sebanyak tiga juta ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari.

“Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula adalah sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari.

“Memandangkan permintaan ke atas kepak ayam yang meningkat pada setiap kali musim perayaan di Sabah, maka kerajaan melalui KPDNHEP telah menyenaraikan kepak ayam sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei ini hingga 2 Jun depan, “katanya.
Sehubungan itu, Georgie turut memaklumkan bahawa KPDNHEP sedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi terutama berhubung isu harga serta bekalan ayam khasnya di Sabah.

“Ini termasuk membabitkan undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|