Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kementerian membabitkan keselamatan mengambil serius mengenai dakwaan anggota keselamatan terbabit dalam jenayah culik, rompak dan ugut terhadap orang awam di perairan Semporna baru-baru ini.
Beliau turut meminta supaya tidak berkompromi mengenai perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan rakyat dan pasukan keselamatan perlu menjaga kedaulatan negara dengan baik.
“Baru-baru ini saya dikejutkan dengan berita berkenaan orang awam diculik, dirompak dan diugut oleh sekumpulan yang dipercayai merupakan anggota keselamatan negara.
“Lebih memburukkan lagi keadaan, kejadian ini berlaku di perairan Semporna di mana mangsa merupakan pengusaha rumpai laut yang sedang dalam perjalanan untuk menjual hasil laut berdekatan Pulau Siamil, Semporna.
“Jika benar seperti apa yang dilaporkan kepada saya, ia amat mendukacitakan kerana pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam kini menjadi dalang dan pelaku kepada aktiviti jenayah. Apa sudah jadi dengan sistem keselamatan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan (WARISAN) berkata, perairan Semporna memang menjadi tumpuan dunia bukan sahaja untuk aktiviti pelancongan tetapi juga termasuk aktiviti pertanian kerana kedudukan daerah ini yang berdekatan dengan Filipina.
“Malah daerah ini terkenal kerana kecantikan serta keunikan pulau-pulau yang ada di sekitarnya. Oleh sebab ini, adalah penting bagi Kementerian Pertahanan khususnya meletakkan aset-aset pertahanan dan juga kelengkapan keselamatan negara di tempat-tempat tumpuan seperti ini.
“Bukannya menempatkan aset-aset penting bagi menjaga keselamatan ini di tempat yang jauh serta mengambil masa yang lama untuk di sampai ke destinasi tumpuan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Katanya lagi, setiap tahun, kerajaan memperuntukkan bajet berbilion ringgit bagi tujuan pertahanan dan juga keselamatan negara.
“Saya sedar dan tahu bahawa kos untuk membina, membeli serta memiliki aset-aset berkaitan keselamatan ini mahal, tetapi adalah mustahil jika kita tidak langsung berupaya mengadakan aset-aset keselamatan ini di kawasan tumpuan dan kerap berlakunya pencerobohan dan juga rompakan,” katanya.
-Deasoka