Anak jati Nabawan disenarai 10 finalis terbaik Global Student Prize

Anak jati Nabawan disenarai 10 finalis terbaik Global Student Prize

Kota Kinabalu: Anak jati Nabawan, Alesyah Asa, 20, berjaya memasuki peringkat akhir pertandingan Global Student Prize tahun 2022 dengan disenarai sebagai 10 finalis terbaik pada pertandingan itu.

Pelajar jurusan teknologi pembinaan Kolej Vokasional Keningau, sebelum ini tersenarai dalam kumpulan 50 finalis terbaik daripada 7, 000 pencalonan di seluruh dunia.

Pertandingan anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat akan menghadiahkan wang berjumlah US$ 100,000.00 atau RM 445,000 kepada seorang pemenang yang dipilih daripada 10 finalis ini.

Ia merupakan anugerah pelajar paling berprestij di dunia dan Alesyah merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri untuk anugerah ini.

Alesyah berjaya menjadi finalis berikutan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi; sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), program pertukaran budaya dan hackathon.

Beliau pernah mengetuai kumpulannya memenangi pertandingan hackathon anjuran : Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2020 berkenaan dengan literasi maklumat.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, pencapaian Alesyah merupakan kebanggaan negara dan ia sebagai bukti bahawa kualiti pendidikan negara khususnya pendidikan kolej vokasional yang melahirkan pelajar-pelajar yang kompeten, kreatif dan berkarisma.

“Diharap kejayaan ini memberi ilham kepada pelajar-pelajar yang lain untuk merebut peluang yang ada dan mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sekiranya Alesyah memenangi anugerah itu dia berhasrat untuk memperkembangkan inisiatif STEM yang melibatkan robotik, dron dan pencetakan 3D ke sekolah-sekolah lain khususnya di Sabah.

“Dia juga ingin membantu membina pusat inovasi di kolej untuk membantu pelajar dan guru membangunkan projek mereka dan ia juga berfungsi sebagai ruang pameran dan pembentangan sebarang projek inovasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|