Isu tuntutan Sulu: Kita buat apa yang betul – Jasnih

Isu tuntutan Sulu: Kita buat apa yang betul – Jasnih

Kota Kinabalu: Isu tuntutan Sulu tidak boleh dipandang ringan atau dianggap kecil tetapi Malaysia juga sudah tentu tidak mahu tergesa-gesa dan teruja untuk membincangkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Jasnih Daya, berkata kerajaan tidak mahu perbincangan mengenai isu itu mungkin digunakan untuk menentang usaha yang diambil Malaysia.

Beliau berkata, cubaan untuk meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah membahaskan usul mengenai isu itu pada persidangan DUN baru-baru ini juga tidak diterima memandangkan Speaker sudah menyatakan perkara itu berada dalam senarai persekutuan, yang mana hal antarabangsa dan keselamatan terletak di bawah kerajaan persekutuan.

“Sehubungan itu, adalah memadai untuk Ahli Parlimen membangkitkannya di Dewan Rakyat dan setakat yang saya tahu, usul untuk membahaskan isu itu ditolak disebabkan subjudis.

“Sekarang bukan masa untuk mendapatkan perbatuan politik atas isu ini seperti kata Winston Churchill, perkara baik akan berlaku kepada sesiapa yang menunggu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Katanya, beliau tidak terfikir yang kerajaan persekutuan mengambil isu itu sebagai sekadar melepaskan batuk di tangga seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, Ahli Parlimen juga sudah dipanggil untuk mendengar taklimat khas dan kemudian mengklasifikasikan isu itu di bawah Akta Rahsia Rasmi memandangkan ia mungkin menjejaskan kes yang sedang berlangsung jika dibincang secara terbuka.

“Di Sabah, kita mengambil pendirian sebulat suara tidak mengiktiraf tuntutan Sulu. Apa yang dilihat dilupakan ialah bahawa Suruhanjaya Cobbold sudah membuat referendum di Sabah dan kita memilih untuk membentuk Malaysia dan dengan itu, kita berkerajaan sendiri sebelum Hari Malaysia.

“Perlu sentiasa diingat senikata lagu kebesaran negeri Sabah, Sabah Tanah Airku yang berbunyi ‘Marilah Bersama Serta Maju Jaya, Merdeka Sepanjang Masa. Bersatu Segala Bangsa Sentosa, Sabah Negeri Merdeka’,” katanya.

Sebelum ini, aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dilapor dirampas pada awal bulan ini oleh bailif untuk waris kesultanan Sulu yang kini tidak lagi berfungsi, yang menuntut RM62.59 bilion daripada Malaysia.

Aset kedua-dua anak syarikat Petronas itu yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dilaporkan bernilai lebih RM8.8 billion.

Malaysia sebelum itu mendapat penangguhan daripada Mahkamah Rayuan Paris berhubung penguatkuasaan Anugerah Akhir yang dituntut oleh pihak mendakwa waris dan pengganti Sultan Jamalul Kiram II.

Sementara itu, Jumaat lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata Kabinet sudah mewujudkan pasukan petugas khas untuk menentukan, memantau dan membentuk pelan tindakan untuk menangani isu tuntutan Sulu.

Pasukan berkenaan diketuai sendiri oleh Wan Junaidi dan turut dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|