Isu BDM kenderaan perdagangan di Sabah selesai

Isu BDM kenderaan perdagangan di Sabah selesai

Sandakan: Isu Berat Dengan Muatan (BDM) kenderaan perdagangan di Sabah sudah diselesaikan hasil perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan pada awal Julai lalu.

Presiden Gabungan Persatuan Pengangkutan Lori Sabah, Steven Chua, dalam satu kenyataan berkata isu itu selesai selepas dua pertemuan di antara pihaknya dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pada Jun dan bulan lalu.

Chua berkata, pertemuan di Sandakan dan Putrajaya itu diatur Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP), Datuk Chin Kim Hiung.

“Isu yang sudah lama berlarutan itu diselesaikan pada awal Julai lalu. Berikutan itu BDM untuk semua jenis lori, kenderaan kargo dan treler di Sabah dinaikkan sama dengan yang ditetapkan di Sarawak dan Semenanjung.

“Wee menyatakan keputusan Kementerian Pengangkutan menaikkan BDM lori di Sabah dibuat selepas kajian teliti dan pertimbangan sebaik mungkin dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, katanya terdapat perbezaan yang sangat ketara kadar BDM kenderaan perdagangan di Semenanjung dan Sabah, iaitu antara 3,000 kilogram (kg) hingga 13,000 kg.

Berikutan itu, Chua berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan isu itu, khususnya pihak kementerian dan LPKP Sabah.

Dalam pada itu, Chua menyelar kenyataan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, baru-baru ini mengenai rungutan pengendali kenderaan perdagangan di Sabah berhubung sektor pengangkutan di Sabah.

Chua berkata, pihaknya menghargai keprihatinan Vivian terhadap nasib dihadapi pengendali kenderaan perdagangan di Sabah sebelum ini, namun katanya Vivian sepatutnya merujuk kepada pihak persatuan terlebih dahulu untuk mengetahui kedudukan sebenar.

“Tidak dinafikan beliau mengambil berat sektor pengangkutan Sabah tetapi beliau sepatutnya menghubungi kita untuk rujukan dan mendapatkan perkembangan terkini.

“Dengan itu, beliau tidak akan mendapat maklumat yang tidak tepat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|