IPD Keningau lupus barang kes berkaitan perjudian

IPD Keningau lupus barang kes berkaitan perjudian

Keningau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melupuskan barang kes berkaitan perjudian yang sudah selesai bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintandan Nor Rafidah Kasim berkata, pelupusan barang kes atau eksibit itu membabitkan 2,647 barang kes.

Antara barang kes yang dilupus pada majlis yang diadakan di IPD Keningau.

“Secara keseluruhannya, barang kes atau eksibit perjudian yang dilupuskan ini adalah dari tempoh 2013 hingga 2016 iaitu melibatkan 93 kertas siasatan dan 2,647 barang kes.

“Daripada 93 kertas siasatan itu, sebanyak 47 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah serta mendapat arahan pelupusan daripada Majistret, manakala sebanyak 46 kertas siasatan, tiada tindakan lanjut (NFA) serta permohonan pelupusan dibuat mengikut Seksyen 407A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Seksyen 16A(3) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, ” katanya ketika hadir pada majlis pelupusan barangan itu di padang kawad IPD Keningau, di sini, semalam.

Nor Rafidah meninjau pelaksanaan melupus barang kes di padang kawad IPD Keningau.

Katanya lagi, pelupusan barangan itu adalah mengikut kehendak Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Redsoft Solution Sdn Bhd adalah syarikat yang dilantik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menjalankan kerja pengumpulan dan pemindahan pengangkutan buangan terjadual.

“Majlis berjalan lancar dan kerja-kerja pelupusan, pemindahan, pengangkutan buangan terjadual akan dijalankan oleh syarikat itu,” katanya.

Terdahulu, majlis turut dihadiri Pengurus cawangan Redsoft Solution Sdn Bhd, Abdul Halim Sera;Pegawai Daerah Keningau, Walter kenson dan Penolong Pegawai JAS, Anuar Mohd Mokhtar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|