IADA bantu kurang kebergantungan beras import ke Sabah

IADA bantu kurang kebergantungan beras import ke Sabah

Kota Belud: Negara ketika ini cuma mampu mengeluarkan beras untuk tahap sara diri (SSL) sebanyak 70 peratus manakala selebihnya masih bergantung kepada beras import.

Perkara itu diakui oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee namun usaha mempertingkatkan pengeluaran beras di seluruh negara sedang giat dilakukan termasuk di Sabah.

Ronald melancarkan program promosi dan publisiti penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Jalan Jati, Kota Kinabalu.

Katanya, ini termasuk menerusi pelaksanaan projek jelapang di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kota Belud yang akan membantu mengurangkan kebergantungan beras import dari negeri lain.

“Seluruh negara ketika ini cuma mampu mengeluarkan beras untuk SSL sebanyak 70 peratus sahaja manakala 30 peratus lagi diimport dari luar.

“Di Sabah kadarnya lebih tinggi sebab pengeluaran beras tidak berada pada tahap yang memuaskan dan kita masih bergantung kepada import dan penghantaran beras dari negeri lain.

“Tentu sekali ada usaha melalui kerajaan Persekutuan dan negeri di mana kerajaan Persekutuan melaksanakan IADA di Kota Belud iaitu projek jelapang padi yang besar disatukan dan sedang diusahakan kerajaan dengan menyalurkan lebih RM250 juta bagi program keseluruhan berkenaan,” katanya selepas melancarkan program Street Attack Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 Jalan Jati, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana usaha untuk mengurangkan tahap kebergantungan beras import di Sabah walaupun negeri ini melalui beberapa daerah merupakan pengeluar beras tempatan.

Mengulas lanjut, usaha meningkatkan pengeluaran beras turut dibantu oleh Jabatan Pertanian Sabah menerusi penemuan varieti benih padi yang baharu di negeri ini.

“Melalui Jabatan Pertanian Sabah juga telah menemui varieti benih padi yang baharu dan kajian mendapati ia adalah varieti yang terbaik serta mampu mengeluarkan beras bermutu lebih tinggi dari varieti yang lain.

“Jadi ini satu usaha yang berterusan yang dilakukan melalui kerajaan Persekutuan bagi mengeluarkan beras tempatan sekali gus meningkatkan pengeluaran beras di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Ronald turut memaklumkan program yang dihadirinya adalah sebagai salah satu promosi dan publisiti bagi penganjuran MAHA 2022 yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri terakhir bagi siri jelajah promosi MAHA 2022 yang akan berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos depan.

“Penganjuran MAHA diadakan semula selepas ditangguhkan berikutan pandemik pada 2020 dan kali ini diadakan selama 10 hari di MAEPS Serdang di mana sebanyak 1,500 ruang untuk peniaga dan peladang disediakan.

“Sudah tentu sekali produk dari Sabah yang diusahakan oleh pengusaha di negeri ini akan turut mengambil peluang bagi mereka memperluaskan perniagaan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|