Embalo masih tercari-cari rentak – Kim Swee

Embalo masih tercari-cari rentak – Kim Swee

Kota Kinabalu: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee agak kecewa dengan persembahan pemain import, Jose Embalo meskipun beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi suku akhir Piala FA menentang Selangor FC, di stadium Likas, malam tadi.

Kim Swee berkata, beliau kecewa walaupun tidak diturunkan pada kesebelasan utama tetapi apabila diberi peluang sekali lagi, Embalo masih lagi tercari-cari rentak ataupun corak permainan yang diinginkan.

“Namun saya katakan di sini, beliau harus cuba mengadaptasi dengan corak permainan kita walaupun beliau bermain di liga yang lebih baik sebelum ini tetapi corak permainan berbeza.

“Beliau (Embalo) perlu cuba mengikut apa yang kita biasa lakukan dan kita akan lihat selepas ini apa langkah seterusnya sama ada beliau diturunkan ataupun tidak.

“Namun saya percaya semua pemain yang ada dengan pasukan mampu menggalas tugas jika diberi peluang,” katanya mengulas aksi Piala FA malam tadi.

Dalam pada itu, Kim Swee turut kecewa selepas tewas pada aksi suku akhir Piala FA sekali gus terkeluar daripada saingan berkenaan.

Katanya, kecederaan pemain pertahanan Dominic Tan yang terpaksa dikeluarkan mengubah corak permainan.

“Namun Hanafi masuk menggantikan Dominic bermain agak baik walaupun perlawanan pertama beliau, tetapi secara keseluruhan pemain gagal untuk memanfaatkan peluang-peluang yang dicipta dan ini memberi kelebihan kepada pasukan Selangor FC.

“Tentu kita harus memikirkan pengganti untuk Jackson de Souza dan Dominic. Kita mempunyai beberapa pemain lagi yang perlu diberikan peluang dan pastu satu tugas yang lebih mencabar apabila kita bermain dengan Petaling Jaya (PJ) City FC dalam Liga Super nanti,” katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berkata, pasukannya bermain dengan baik malam tadi dengan jaringan awal.

“Ia sudah semestinya memberi kami keyakinan untuk bermain dengan lebih baik. Kami mampu mengawal perlawanan dengan baik meskipun pasukan Sabah FC membuat beberapa gerakan balik.

“Selepas ini, kami perlu meneruskan kecemerlangan dengan perlawanan seterusnya. Kami perlu terus fokus kepada perlawanan seterusnya kerana memerlukan kutipan lebih banyak mata dalam saingan Liga Super,” katanya.

Dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas, malam tadi, skuad ‘The Rhinos’ tumpas kepada Selangor FC 0-2.

Skuad ‘The Red Giant’ tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Hyuri Henrique De Oliveira Costa berjaya meledak gol pada minit pertama permainan.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit menyamakan kedudukan namun serangan-serangan mereka gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Keadaan hujan lebat di separuh masa kedua, rentak kedua-du pasukan sedikit terjajas namun nasib lebih memihak kepada Selangor FC apabila memperolehi go kedua menerusi Herlison Caion pada minit ke-80 menerusi sepakan lambung yang berjaya menewaskan Damien buat kali kedua.

Dengan kekalahan itu, Sabah FC terkeluar daripada saingan Piala FA manakala Selangor FC layak ke separuh akhir yang akan menentang Terangganu FC pada 5 Ogos depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|