Hutan simpan diwarta dalam kampus UMS

Hutan simpan diwarta dalam kampus UMS

Kota Kinabalu: Kawasan hutan di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini diwartakan sebagai hutan simpan untuk pembangunan pendidikan dan penyelidikan hutan.

Ia membabitkan kawasan tanah berhutan di kampus universiti itu seluas kira-kira 25 hektar.

Taufiq (dua kiri) melancarkan hutan simpan dalam kampus, SFERA@UMS di kampus induknya, di Kota Kinabalu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata hutan simpan yang dikenali sebagai SFERA@UMS itu juga digunakan untuk aktiviti penanaman pokok.

Katanya, ia bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mengekalkan kawasan hutan sebanyak 50 peratus, UMS dengan bangganya mewartakan sebahagian daripada tanah berhutan di kampusnya kepada Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) khas untuk penyelidikan hutan secara mapan dalam bidang sains perhutanan.

“Langkah ini bagi mencontohi negara maju seperti Jerman dan Jepun yang sudah lama membangunkan satu kawasan khas untuk hutan universiti bagi tujuan berkenaan,” katanya sempena majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat UMS, semalam.

Beliau berkata, menerusi pewartaan hutan simpan berkenaan, ia diharap dapat menjadi titik permulaan untuk menonjolkan pengajian perhutanan di UMS secara global.

Sempena sambutan itu, lebih 200 pokok pelbagai spesies seperti Pulai, Selangan Batu, Seraya, Urat Mata dan Kapur ditanam di hutan UMS dengan sasaran untuk menanam sebanyak 200,000 pokok menjelang 2025.

Pada tahun ini juga, UMS menyasarkan setiap kakitangannya menanam dua pokok di sekitar kampus dan tempat bersesuaian termasuk kawasan kolaborasi bersama rakan strategik UMS.

Selain sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Taufiq turut menyaksikan pemeteraian surat niat (LoI) di antara FPT UMS yang diwakili oleh dekannya, Prof Madya Dr Normah Awang Besar @ Raffie dan Pengarah Forest Solutions Malaysia Sdn Bhd, Guy Thornton.

Ia merangkumi hasrat kedua-dua pihak dalam melaksanakan aktiviti perhutanan secara lebih proaktif pada masa akan datang.

Taufiq turut melancarkan buku bertajuk Forestry Camp; Guide and Practical turut hasil karya pensyarah FPT UMS iaitu Dr Affendy Hassan, Prof Madya Dr Andy Russel Mojiol, Dr Walter Lintangan dan Wilter Malandi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|