HQE, UMS, CLAPAM anjur Sabah Cleft Carnival

HQE, UMS, CLAPAM anjur Sabah Cleft Carnival

Kota Kinabalu: Hospital Queen Elizabeth (QEH), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) menganjurkan Sabah Cleft Carnival 2022 yang meliputi aktiviti simposium, klinik bersepadu rawatan serta pembedahan klef bagi kanak-kanak di Sabah.

Karnival selama lima hari itu mengumpulkan seramai 17 pakar multidisiplin dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan klef bersama ibu bapa serta kakitangan perubatan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkongsian itu dilihat dapat memberi sokongan kepada ibu bapa untuk mendapatkan ilmu serta pengalaman daripada keluarga lain yang turut mempunyai anak klef.

“Ini penting untuk membina rasa kemasyarakatan dan menerima sokongan secara mental dan emosional selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi program klef atau mana-mana program perubatan yang diperlukan oleh rakyat di Sabah,” katanya ketika merasmikan karnival tersebut di UMS semalam.

Sabah Cleft Carnival 2022 merupakan hasil kerjasama strategik Unit Pembedahan Plastik HQE, Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS dan CLAPAM.

Tambah Shahelmey lagi, program seumpama itu merupakan satu program yang amat baik bagi kumpulan sasar khususnya kanak-kanak klef untuk menjalani pembedahan.

“Saya mengalu-alukan usaha murni ini dan saya difahamkan Sabah Cleft Carnival ini telah bermula sejak 2014 dan terhenti pada tahun lalu akibat pandemik.

“Dan pada kali ini ia disambung semula. Sudah tentu dengan adanya program seumpama ini, kes-kes tertunggak yang memerlukan pembedahan klef di Sabah akan dapat ditangani,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berharap sinergi program antara agensi Kementerian kesihatan Malaysia dan UMS dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dalam bidang disiplin perubatan lain demi kesejahteraan masyarakat khususnya di Sabah.

“Kepada ibu bapa serta peserta simposium, semoga bersama-sama memperoleh dan menikmati perkongsian ilmu pada hari ini,” katanya. 

Pada karnival tersebut, seramai 30 kanak-kanak disaring dan dikenal pasti untuk menjalani pembedahan khas baik pulih klef di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah dan Hospital Queen Elizabeth.

Setiap tahun, dianggarkan 800 hingga 1,000 bayi klef dilahirkan di Malaysia.

Turut hadir pada karnival tersebut, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Malaysia, Profesor Datuk Kalaiarasu M. Peariasamy; Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr William Gotulis dan Pengarah Hospital UMS, Dr Helen Lasimbang.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|