Harga minyak masak 5 kg di Sabah juga turun – KPDNHEP

Harga minyak masak 5 kg di Sabah juga turun – KPDNHEP

Kota Kinabalu: Pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan turut menikmati penurunan harga minyak masak tulen tidak bersubsidi bagi kemasan botol lima kilogram pada harga RM34.70 berkuatkuasa 8 Ogos ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini, berkata harga yang ditetapkan itu sama di seluruh negara.

“Keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), semalam antara lain menyaksikan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia termasuk Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.

“Harga purata bulanan CPO akan ditentukan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1 hari bulan diikuti dengan pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut yang akan berkuat kuasa pada setiap 8 hari bulan sehingga 7 hari bulan berikutnya,” katanya.

Alexander berkata berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata CPO bagi Julai 2022 adalah RM4,603.

Sehubungan itu, katanya menerusi pengiraan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan di samping rundingan bersama pemain industri minyak sawit, harga maksimum jualan di peringkat peruncit untuk botol lima kilogram bagi Ogos 2022 ditetapkan pada paras RM34.70.

“Mekanisme di sebalik penetapan harga siling ini dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa CPO.

“Bagaimanapun, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama.

“Selain itu, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk kemasan polibeg turut diwartakan pada Isnin, 1 Ogos 2022 untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport di samping meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan barangan kawalan serta subsidi,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Pengerusi PKJTI, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata harga baharu minyak masak kemasan botol itu hanya untuk Semenanjung, menyebabkan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan tertanya-tanya mengenai harga di negeri mereka.

Ketika ini, harga minyak masak kelapa sawit tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram di Sabah mencecah lebih RM40 sebotol.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|