Hanya pengadil berkelayakan dibenarkan SAFA

Hanya pengadil berkelayakan dibenarkan SAFA

Kota Kinabalu: Hanya pengadil berkelayakan dibenarkan untuk mengadili mana-mana kejohanan bola sepak yang dianjurkan di negeri ini.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Juil Nuatim berhubung pelantikan pengadil untuk sebarang kejohanan bola sepak di negeri ini.

Juil mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil SAFA, di Stadium Likas.

Beliau menegaskan, semua penganjur kejohanan bola sepak perlu memohon untuk mendapatkan kebenaran daripada pengerusi pengadil daerah berhubung pelantikan pegawai perlawanan.

Katanya, ia ditetapkan supaya penganjur tidak sewenang-wenangnnya memilih mana-mana pengadil untuk mengadili kejohanan mereka.

“SAFA mempunyai pengerusi pengadil di setiap daerah dan penganjur perlu menuruti peraturan yang ditetapkan.

“Penganjur perlu membentuk jawatankuasa kejohanan tetapi apabila melibatkan pengadil, mereka mesti merujuk kepada jawatankuasa pengadil negeri atau pengerusi pengadil daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil SAFA, di Stadium Likas, di sini, kelmarin.

Juil berkata, semua pengadil di negeri ini berada di bawah naungan Jawatankuasa Pengadil SAFA selain turut mempunyai Pegawai Pembangunan Pengadil bertauliah dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu di Dr Sari Tani.

Katanya, jawatankuasa pengadil juga memutuskan penganjur kejohanan bola sepak juga mesti menggunakan pengadil dari daerah masing-masing.

“Sekiranya jumlah pengadil tidak mencukupi, barulah mereka dibenarkan menjemput pengadil dari daerah lain, namun mereka perlu menulis permohonan rasmi daripada SAFA untuk mendapatkan lampu hijau atau kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Juil berkata jawatankuasa itu akan mengeluarkan buku panduan sebagai rujukan kepada pengadil mengenai peranan mereka serta menyeragamkan kadar bayaran pengadil di negeri ini.

Katanya, ia adalah salah satu cara untuk meningkatkan pembangunan pengadil sekali gus meningkatkan taraf pengadilan.

“Satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi untuk membincangkan perkara ini dan pihak berharap buku panduan berkenaan akan dapat dikeluarkan dalam masa sebulan lagi.

“Kita berharap semua pengadil akan lebih dihormati atas usaha dan pengorbanan mereka mendapatkan lesen,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|