Azan awal 4 minit, penyampai radio tampil mohon maaf

Azan awal 4 minit, penyampai radio tampil mohon maaf

Tawau: Seorang penyampai stesen radio tempatan, di sini, tampil memohon maaf menerusi satu kenyataan di laman sosial facebook selepas tersilap menyiarkan azan Maghrib empat minit sebelum waktu sepatutnya.

Penyampai radio berkenaan mengaku tersilap selepas menyiarkan azan sebanyak dua kali iaitu pada jam 6.16 dan 6.20 petang.

Penyiar radio yang menggunakan akaun facebook peribadinya menjelaskan perkara itu disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesalahan dirinya sendiri.

“Saya, Mohd Safwan bin Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang. 

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Mohd Safwan dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, beliau secara peribadi dan rendah hati memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.

“Kesilapan ini, adalah kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM. Ybaik datangnya dari ALLAH, dan yang kurang itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Mohon ‘share’ permohonan maaf ini,” katanya.

Pengakuan secara terbuka itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk ada yang memuji tindakannya berani membuat pengakuan secara terbuka.

Namun ada juga yang memberikannya nasihat untuk lebih berhati-hati di masa akan datang supaya perkara seperti itu tidak berulang kembali.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|