Hajiji kekal Pengerusi GRS, BERSATU bukan lagi ahli gabungan GRS

Hajiji kekal Pengerusi GRS, BERSATU bukan lagi ahli gabungan GRS

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuat keputusan mengekalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi gabungan itu pada mesyuarat 9 Disember lalu.

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mesyuarat itu yang dipengerusikannya juga membuat keputusan menggugurkan keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Ahli Badan Gabungan dalam GRS.

“Mesyuarat berkenaan turut memutuskan penyertaan GRS dalam Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semalam yang mendakwa BERSATU masih ahli GRS dan Hajiji bukan lagi Pengerusi GRS yang sah kerana sudah keluar dari BERSATU.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu mendakwa berikutan itu, perjanjian persefahaman di antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani Hajiji bagi pihak GRS, Jumaat lalu juga tidak sah.

Sehubungan itu, Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, Ronald atau partinya tiada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya ditolak BERSATU.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|