Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan syor Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung penubuhan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menanggani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Katanya, penubuhan jawatan kuasa itu adalah sebagai susulan kepada gerak kerja yang dipengerusikan oleh timbalannya yang juga merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan.
“Saya akan bawa perkara ini untuk pertimbangan Kabinet negeri. Namun pra syaratnya semua pihak perlu jujur dan ikhlas untuk mencari solusi segera kepada isu legasi ini dan bertindak demi kepentingan jangka panjang negeri.
“Pada masa yang sama, kita perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu mendesak semasa yang melibatkan bebanan sara hidup rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-36 dan 37 di Dewan Hakka, Likas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Perdana PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Sementara itu, menyentuh mengenai PBS yang juga sebahagian dalam GRS, Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut berkata, permuafakatan parti-parti politik melahirkan sebuah wadah baharu dan jajaran politik tempatan Sabah.
“GRS bermula dengan manifestasi kerjasama politik dan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) pada September 2020.
“GRS adalah sebuah jajaran politik lokal yang menjadi formula tempatan dalam mewujudkan permuafakatan rakyat bagi mendepani lanskap baharu politik negara.
“Sebagaimana GRS terbina atas mandat rakyat, penubuhan GRS sebagai sebuah entiti politik rasmi pada 11 Mac 2022 adalah juga manifestasi aspirasi rakyat,” katanya.
Tambah beliau lagi, akar umbi mahukan parti-parti bersatu dalam sebuah wadah tempatan untuk memperkukuhkan perjuangan membela hak-hak dan kepentingan anak watan di persada politik lokal dan nasional.
“Sebagai satu formula tempatan, ingin saya ulangi komitmen bahawa kehadiran komponen politik nasional dalam GRS, termasuk kehadiran saya sendiri selaku Pengerusi GRS, adalah tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip GRS.
“Komitmen kepada formula tempatan ini juga dipelihara dengan peruntukan undang-undang tubuh parti yang menetapkan bahawa teraju kepimpinan GRS adalah ditentukan melalui konsensus lokal iaitu kesepakatan parti-parti komponen GRS.
“Kita di Sabah akan menentukan sendiri barisan kepimpinan GRS bersandarkan kepada perlembagaan parti. Setiap ahli GRS perlu berpegang teguh kepada agenda, teras, prinsip dan Perlembagaan GRS serta menjunjung keluhuran Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
-Deasoka