Kota Kinabalu: Graduan diingatkan supaya tidak lupa menunaikan tanggungjawab membuat pembayaran balik pinjaman kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pembayaran itu bagi memastikan dana negara mencukupi untuk menampung pelajar lain yang masih menuntut dan bakal masuk ke universiti.
Katanya, fungsi utama PTPTN adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.
“Ia sudah membantu para graduan dari sejak awal menjejakkan kaki ke universiti sehinggalah berjaya bergraduasi.
“Oleh itu, graduan perlu mengutamakan bayaran balik PTPTN sebaik mendapat pekerjaan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24, di sini, hari ini.
Kasim berkata, pembayaran itu juga bagi mengelakkan para graduan menghadapi kesulitan pada masa akan datang.
Katanya, kegagalan membuat pembayaran boleh menyebabkan mereka disenarai hitam oleh institusi perkhidmatan kewangan yang lain.
“Atau dalam senario yang lebih jauh, kita risau mereka juga mungkin berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Jadi saya ingin berpesan sekali lagi, agar apabila para graduan sudah memperoleh pendapatan atau bekerja kelak, utamakan pembayaran semula pinjaman PTPTN,” katanya.
Sementara itu, Kasim turut mengucapkan tahniah kepada 4,298 graduan yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-24.
-Deasoka