Gangguan elektrik lebih 10 jam di KKIA, Malaysia Airports mohon maaf

Gangguan elektrik lebih 10 jam di KKIA, Malaysia Airports mohon maaf

Kota Kinabalu: Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) memohon maaf berikutan gangguan bekalan elektrik lebih 10 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Kamaruzzaman Razali, bagaimanapun berkata kejadian bermula jam 4.45 petang semalam hingga jam 3.20 pagi hari ini hanya menjejaskan beberapa kawasan terminal.

KKIA bergelap akibat gangguan bekalan elektrik selama lebih 10 jam sejak petang semalam (23 Februari).

Beliau berkata, gangguan bekalan elektrik berlaku ketika kerja pemindahan bekalan yang dikendalikan kontraktor lapangan terbang, namun pemprosesan penumpang dapat dilaksanakan seperti biasa menggunakan bekalan elektrik alternatif disediakan menggunakan beberapa set janakuasa.

“Operasi pesawat seperti pendaratan dan pelepasan juga tidak terjejas dan tiada penerbangan yang tertangguh akibat insiden terbabit.

“Bagaimanapun, kita sangat kesal dengan insiden itu dan meminta maaf atas ketidakselesaan yang dialami tetamu lapangan terbang dan rakan peruncit ketika gangguan bekalan elektrik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan teknikal lapangan terbang dikerah segera untuk menyelesaikan masalah itu dan bekerja tanpa henti bersama kontraktor untuk memulihkan bekalan utama elektrik.

Beliau berkata, pihaknya juga mengerahkan tenaga kerja tambahan ke kawasan yang terjejas demi keselamatan penumpang.

“Pasukan lapangan terbang juga sangat komited memastikan pergerakan penerbangan tidak terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik.

“Semua 14 pelepasan dan 22 ketibaan penerbangan berjalan dengan lancar dengan pesawat terakhir berlepas dari KKIA pada jam 12.40 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|