Piala Sabah 2022 tawar hadiah RM30,000 untuk juara

Piala Sabah 2022 tawar hadiah RM30,000 untuk juara

Kota Kinabalu: Perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 bagi merebut Piala Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM30,000 akan berlangsung di sini pada 23 hingga 27 Mac ini.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada mesyuaratnya semalam yang turut disertai lapan pengerusi penganjur peringkat zon secara dalam talian.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Azman Mastar, berkata penganjuran kejohanan di peringkat lapan zon akan ditentukan oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa di peringkat zon terbabit.

Katanya, setiap zon akan menentukan tarikh kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian mereka.

“Juara kejohanan di peringkat zon akan bertanding di peringkat grand final yang akan di adakan di Kota Kinabalu nanti mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zon terbabit ialah Pantai Barat (Kota Kinabalu, Putatan, Papar dan Penampang) dipengerusikan Lokman Sunggim; diikuti Pantai Barat Utara (Kudat, Pitas, Kota Marudu dan Matunggong) dipengerusikan Awang Lahaji Rokimin; Pantai Barat Timur (Tuaran, Kota Belud, Kiulu dan Tamparuli) dipengerusikan Justin Ganai; Pedalaman Atas (Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan) dipengerusikan Fred Vincent Marukau; Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok dan Wilayah Persekutuan Labuan) dipengerusikan Datuk Razak Sulaiman; Pantai Timur Selatan (Tawau, Semporna, Kalabakan, Kunak dan Lahad Datu) dipengerusikan Rahman Mohd Noor; Pantai Timur Utara (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Libaran) dipengerusikan Ibrahim Mastar dan Zon Tengah (Telupid, Ranau Dan Tongod) dipengerusikan Tommy Amir.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata penyenaraian pemain dalam pasukan adalah terbuka memandangkan tiada had umur ditetapkan.

“Setiap pasukan boleh menyenaraikan pemain mengikut keperluan mereka masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, setiap pasukan hendaklah menggunakan khidmat ketua jurulatih yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya memiliki Lesen B atau C AFC/FAM, penolong jurulatih hendaklah memiliki Lesen C atau D, jurulatih penjaga gol pula mestilah sekurang-kurangnya memiliki Level 1 AFC/FAM atau sijil asas SAFA, manakala fisioterafi Level 1 (Sains Sukan).

Beliau berharap semua pasukan akan memberi kerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelancaran kejohanan berkenaan.

Katanya, jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA akan mengadakan mesyuarat sekali lagi selepas ini membabitkan lapan pengerusi penganjur peringkat zon agar kejohanan berjalan dengan lancar.

Mengenai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang, Azman menjelaskan, juara akan menerima wang tunai RM30,000, sebuah piala dan 30 trofi; naib juara akan menerima wang tunai RM20,000, sebuah piala dan 30 trofi manakala wang sagu hati RM3,000 akan diberikan kepada enam pasukan terbaik di peringkat akhir.

Jelasnya, kejohanan Piala Sabah adalah antara lima kejohanan yang terkandung dalam kalender penganjuran SAFA selepas kejayaan Kejohanan Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin B18 baru-baru ini.

Kejohanan lain yang termasuk dalam perancangan SAFA ialah Kejohanan Antara Kelab-kelab, Piala SAFA dan kejohanan bola sepak wanita Sabah.

“Dengan adanya kerjasama baik daripada semua zon, insyaAllah semua kejohanan ini akan dapat dianjurkan dengan jayanya selari dengan perancangan dan hala tuju Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, semua pasukan SAFA daerah di setiap zon diharap akan terus memberi kerjasama dan sokongan padu terhadap perancangan dan usaha yang dilakukan SAFA Pusat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|