Gajah serang penjaga hingga maut ketika beri rawatan

Gajah serang penjaga hingga maut ketika beri rawatan

Penampang: Seorang petugas Taman Hidupan Liar, Lok Kawi, di sini, maut dipercayai diserang seekor gajah pygmy, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa dikatakan diserang ketika sedang memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera di kandang pameran gajah ternakan berkenaan.

Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun yang parah di bahagian dada dan perut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan tugas rutin memberi makan dan membersihkan gajah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

“Secara tiba-tiba, seekor gajah dewasa telah menyerang mangsa ketika sedang memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera.

“Akibat daripada serangan itu, mangsa parah di bahagian dada serta perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan ketika ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|