Beaufort: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN) menegaskan pendiriannya untuk menolak pendekatan politik yang menghancurkan.
Pengerusinya, Mazlan Joehari Manan berkata, iklim politik sedang hangat ketika ini berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir dan mungkin diadakan pada bila-bila masa.
Katanya, sistem demokrasi memang membolehkan kehadiran pelbagai parti dalam menawarkan khidmat yang lebih baik untuk rakyat.
“Parti memang pelbagai, programnya juga beragam namun semuanya perlu bersetuju dalam komitmen menjayakan prinsip serta nilai demokrasi yang bertunjang kepada kuasa dan suara rakyat.
“Tiada salahnya untuk masyarakat berpolitik dalam parti siasah kerana ini diraikan sebagai satu kaedah demokrasi. Perlumbaan untuk memenangi hati rakyat sama ada dalam bentuk persepsi atau yang lebih penting undi perlu beradab.
“Rancangan pembangunan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak berserta tawaran agar diberikan mandat semula memberikan kelebihan kepada rakyat untuk melihat dan membuat penilaian mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan GABUNGAN 2021 dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Sesi 2021-2023 yang dirasmikan oleh Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, di sini, malam tadi.
Katanya lagi, dalam keadaan masyarakat majmuk yang masih rapuh, rakyat harus cukup cerdas, dewasa dan bijaksana menilai pelbagai kerenah politik agar tidak terseret dalam sengketa yang memecah integrasi nasional.
“Gejala mengeksploitasikan sentimen perkauman berlebihan dan tindakan ‘racist’ harus diwaspada demi memelihara kerukunan hidup yang telah kita nikmati ini.
“Bagi maksud tersebut GABUNGAN menentang segala bentuk politik menghancurkan sebaliknya kita berusaha ke arah kematangan politik dalam memantapkan kaedah berpolitik kita.
“Kematangan politik penuh dengan sikap berjiwa besar, lapang dada dan perlumbaan ke arah menawarkan yang terbaik yang ada pada setiap parti siasah menggantikan sentimen politik kebencian yang menjurus ke arah fitnah mencipta polemik-polemik yang tidak berasas,” katanya.
Mazlan yang juga Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS) sebelum itu mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi GABUNGAN untuk penggal ketiga.
“Saya sudah memimpin GABUNGAN ini untuk penggal yang ketiga dan ini yang terakhir sebelum diserahkan di penggal yang seterusnya,” katanya.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Tetap GABUNGAN, Rozaimi Jaafar dan Pegawai Belia dan Sukan Sabah Bahagian Pedalaman Bawah, Yassin Omar.
-Deasoka