Ex Kerismas uji tahap kesiagaan, keupayaan Armada TLDM

Ex Kerismas uji tahap kesiagaan, keupayaan Armada TLDM

Kota Kinabalu: Latihan Eksesais mega Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Ex Kerismas yang dijalankan selama 21 hari bermula 3 Oktober lalu berjaya mencapai sasaran objektif.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, latihan itu dilaksanakan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan sekitar Laut China Selatan membabitkan 23 kapal dan 2,073 warga TLDM.

Mohd Reza memeriksa barisan kawalan kehormat ketika Majlis Penutup Ex Kerismas di pangkalan TLDM, Kota Kinabalu.

Katanya, latihan tahunan itu penting bagi menguji tahap kesiagaan serta keupayaan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim berintensiti tinggi.

“Latihan ini turut disertai kapal selam, Submarine Rescue Ship, empat helikopter dan dua pesawat Unmanned Aircraft System.

Mohd Reza merakamkan gambar kenangan bersama warga TLDM semasa Majlis Penutup Ex Kerismas di pangkalan TLDM di sini.

“Selain itu, ia turut membabitkan elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan disokong denngan pembabitan tujuh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi ia sebagai antara latihan terbesar pernah dilaksanakan TLDM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas penutupan Ex Kerismas di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Mohd Reza berucap ketika Majlis Penutup Ex Kerismas.

Mohd Reza berkata, kali terakhir Eksesais ini dilaksanakan adalah pada 2019 sebelum penularan pandemik Covid-19.

Katanya, ia mengakibatkan hampir semua aktiviti yang mendukung kepada peningkatan kesiagaan pertahanan terpaksa ditangguhkan.

“Sepertimana perlaksanaan eksesais sebelum ini, Ex Kerismas 27/2022 dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa selesai eksesais.

“Secara keseluruhan, sebanyak 88.7 peratus siri latihan yang dijadualkan berjaya dilaksanakan. Manakala 11 peratus latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan faktor cuaca dan isu kerosakan yang dialami aset.

“Malah beberapa siri latihan peperangan maritim empat dimensi juga tidak dapat dilaksanakan pada tahap optimum disebabkan kekangan keupayaan tempur,” katanya.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, hasil penemuan eksesais pada kali ini akan dijadikan sebagai panduan dalam aspek perancangan pembangunan masa hadapan TLDM.

“Walaupun keadaan laut bergelora pada sebahagian tempoh fasa di laut, eksesais ini tetap dilaksanakan demi mencapai objektifnya.

“Tanpa komitmen jitu dan pengorbanan yang tinggi oleh semua warga TLDM, pastinya kejayaan eksesais ini tidak tercapai, ini menjadi bukti bahawa warga TLDM kekal profesional dalam memainkan peranan tanpa mengira pangkat bagi memastikan kapal berkhidmat dapat beroperasi sepenuhnya.

“Kesungguhan dan komitmen warga TLDM harus dijadikan contoh oleh generasi akan datang untuk bersikap positif dan terus iltizam dalam mengoperasikan kapal walaupun berdepan kekangan,” katanya.

“Di samping itu, kebimbangan terhadap kemampuan semasa aset-aset Armada TLDM bukan saja sudah berusia tetapi bersaiz kecil.

Mohd Reza berkata, seperti skuadron Fast Atack Craft (FAC) yang menjangkau lebih 40 tahun dan bersaiz kecil, ia dilihat tidak lagi mampu beroperasi secara efisien di Laut China Selatan.

“Malah lebih membimbangkan ialah tahap keselamatan aset yang terlalu berusia ini. Statistik yang terkumpul sepanjang eksesais menunjukkan trend kerosakan secara konsisten dialami oleh kapal yang sudah berusia.

“Inilah cabaran yang perlu didepani, TLDM tetap komited untuk terus memastikan kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) kekal selamat ditambah dengan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan serta landskap keselamatan global dan serantau yang tidak menentu, tanggungjawab TLDM semakin mencabar.

“Kita akan menggalas tanggungjawab ini sedaya mungkin dengan mengoptimumkan keupayaan aset sedia ada, TLDM akan terus berusaha memastikan agar kedaulatan maritim negara terus terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|