DUN Sabah: Sabah perlu rebut peluang ekonomi menerusi pembangunan IKN Indonesia di Kalimantan – Ghulam

DUN Sabah: Sabah perlu rebut peluang ekonomi menerusi pembangunan IKN Indonesia di Kalimantan – Ghulam

Kota Kinabalu: Sabah perlu merebut peluang ekonomi yang bakal diwujudkan berikutan pemindahan Ibu Kota Negara (IKN) Indonesia ke Kalimantan Timur.

Perkara itu ditekankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (BERSATU) ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan DUN Sabah, di sini.

Berikutan itu, beliau menyarankan agar kerajaan negeri berunding dengan Putrajaya bagi memastikan Kerajaan Persekutuan melihat secara spesifik pembangunan koridor di kawasan sempadan Sabah-Kalimantan, khususnya di Tawau.

Katanya, ia penting kerana dijangka banyak aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan nanti selain isu keselamatan yang perlu ditangani di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh tertinggal dalam pembangunan wilayah ini. Sabah tidak boleh sekadar menjadi penonton pembangunan negara jiran.

“Kita perlu bangkit, merebut peluang untuk membangun bersama. Mahu atau tidak, kita mesti bergerak seiring, barulah dapat mencipta kemakmuran bersama,” katanya.

Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah merujuk perenggan ke-47 Ucapan Dasar Kerajaan yang menyebut mengenai usaha kerajaan negeri menyediakan Rangka Tindakan Koridor Pembangunan Sabah 2.0 (2021-2030) untuk memajukan Sabah melalui pembangunan mengikut koridor atau wilayah yang selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau menyarankan agar pelaksanaan rangka pembangunan mengikut koridor itu diperhebatkan tahun ini, terutama di kawasan sempadan negeri, khususnya Tawau yang berdekatan dengan IKN Indonesia yang baharu, iaitu Nusantara, di Kalimantan Timur.

“Sebagai kawasan paling hampir dengan sempadan Indonesia, pembangunan di wilayah Tawau perlu diberi tumpuan, terutama sekitar jajaran Serudong-Simanggaris, dari segi kemudahan infrastruktur, kerana nanti koridor ini menjadi pintu masuk paling sibuk,” katanya.

Ghulam juga berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat semula platform kerjasama serantau menerusi BIMP-EAGA bagi meneroka prospek ekonomi yang boleh dimajukan berikutan perpindahan IKN ke Kalimantan Timur.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri Sabah khasnya golongan anak negeri di luar bandar.

“Kita melihat hal ini sebagai paling mustahak dan perlu penyelesaian tuntas. Ia bukan sekadar isu politik, tapi sebenarnya menjangkau soal kehidupan orang kita yang berpijak di bumi nyata,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap proses pengeluaran geran tanah diperkasa dan diperhebatkan lagi tahun ini bagi memastikan isu itu diselesaikan secara tuntas dan tidak lagi berpanjangan sehingga dipolitikkan.

Ghulam turut membangkitkan isu tanah rizab perkampungan untuk Kampung Kawang dan Kampung Peranggi Berinsis di DUN Kawang yang sudah lama dinantikan oleh penduduk tempatan.

“Permohonan penduduk terbabit difahamkan sudah berada dalam pertimbangan jabatan berkaitan, justeru diharapkan agar mendapat khabar gembira dalam masa terdekat ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|