DUN Sabah: 7,963 peluang pekerjaan diwujudkan di KKIP

DUN Sabah: 7,963 peluang pekerjaan diwujudkan di KKIP

Kota Kinabalu: Sebanyak 242 kilang kini beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang mewujudkan sebanyak 7,963 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan RM1.68 billion.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, semua kilang terbabit dalam pelbagai rangkaian industri.

Katanya, 17 entiti adalah dalam sektor berasaskan kayu, 39 kilang berasaskan makanan, 65 dalam sektor pergudangan dan lain-lain aktiviti seperti berasaskan besi, getah, plastik, logistik, elektronik dan elektrikal, automotif dan lain-lain.

“Dalam pada itu, sebanyak tujuh entiti terlibat dalam operasi penyediaan utiliti, 21 entiti Penyelidikan dan Pembangunan, Institusi Latihan dan sekolah-sekolah.

“Komponen ini menyediakan sebanyak 1,516 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan berjumlah RM 1.42 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Peto Galim (PKR – Inanam) mengenai senarai kilang dan pelaburan serta peluang pekerjaan di KKIP pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Dr Joachim berkata, bagi sektor komersial pula menyediakan peluang pekerjaan kepada 523 orang dengan nilai pelaburan sebanyak RM48 juta.

Sementara itu, beliau berkata, pihak kementeriannya tidak terlibat secara langsung dalam mengadakan program pembasmian kemiskinan.

Bgaimanapun katanya, kementeriannya sentiasa berusaha untuk membantu menangani masalah kemiskinan di Sabah dengan menarik lebih banyak pelabur dari luar untuk melabur.

“Kementerian saya sentiasa memberikan komitmen dan terus berganding bahu dengan pemain industri bagi memastikan sektor pembuatan kekal sebagai destinasi pelaburan yang terpilih dan seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan.

“Pada 2021, Sabah menerima suntikan pelaburan asing dan domestik sebanyak RM4.47 bilion dan menghasilkan 7,400 peluang pekerjaan.

“Dengan adanya pelaburan ini, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negeri Sabah dari sudut tukaran wang asing dan juga kutipan cukai,” katanya.

Dr Joachim berkata, sepanjang tahun ini pula, Kementerian Pembangunan Perindustrian bakal menerima satu lagi pelaburan berteknologi tinggi dari negara China yang akan membuka kilang pembuatan kaca solar panel di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

Katanya, majlis menandatangani MOA mengenai penyewaan tanah sudah diadakan pada 17 Mac lalu dan pembinaan kilang akan bermula pada pertengahan tahun ini di atas keluasan tanah seluas 130 ekar.

“Nilai pelaburan ini adalah sebanyak RM2 billion dan akan menyediakan sebanyak 1,700 peluang pekerjaan.

“Dengan adanya pelabur luar yang melabur di Sabah, sudah semestinya kontraktor tempatan akan diberi peluang untuk menjadi pembekal bahan mentah dan tenaga buruh.

“Langkah ini jelas dapat membantu menangani isu kemiskinan di Sabah kerana lebih banyak peluang pekerjaan disediakan untuk rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Joachim berkata, pihak kementerian juga sedang giat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan seterusnya membantu mengembangkan pasaran produk mereka secara meluas.

Katanya, dengan cara itu, usahawan yang berjaya akan mengupah lebih ramai pekerja bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

“Secara tidak langsung peluang pekerjaan akan tercipta kepada golongan miskin dan penduduk di luar bandar.

“Di samping itu, usaha ini juga dapat membantu pembekal bahan mentah seperti petani atau nelayan untuk memasarkan hasil tanaman atau tangkapan mereka kepada usahawan tempatan.

“Ini dapat membantu mengembangkan peluang pekerjaan di sektor pertanian dan perikanan kerana permintaan bahan mentah,”’katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|