DUN Sabah: Sabah kaji bangunkan sukan e-Sports

DUN Sabah: Sabah kaji bangunkan sukan e-Sports

Kota Kinabalu: Kementerian Belia dan Sukan negeri sedang dalam proses akhir menganalisa data yang diperolehi menerusi penganjuran beberapa siri sukan e-Sports untuk dijadikan intipati dan teras terma rujukan Pembangunan Sukan e-Sports di Sabah.

Menterinya, Datul Ellron Angin, berkata pengumpulan data berkenaan adalah usaha awal kementerian membuat penilaian terhadap penganjuran beberapa siri kejohanan e-Sports sebelum ini.

Antaranya, beliau berkata Kejohanan E-Sports Tour 2019 pada Disember 2019 yang membabitkan enam bahagian seluruh Sabah berjaya menarik penyertaan seramai 16,648 peserta.

“Kedua, Program 12.12 e-Carnival 2021 pada 10 hingga 12 Disember 2021 yang berjaya mengumpul seramai 500 penyertaan.

“Seterusnya Kejohanan PUBG Mobile Borneo Challenge 2021 pada 5 hingga 7 Februari 2021 yang berjaya menarik sebanyak 320 penyertaan dan Sabahan Scrim Santai Season 1.0 yang pada 4 hingga 8 Disember 2021 melibatkan penyertaan seramai 320 penyertaan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Juil Nuatim (KDM – Limbahau) mengenai perancangan jangka panjang pembangunan sukan e-Sports di Sabah.

Ellron berkata, edisi kejohanan e-Sport yang dianjurkan sebelum ini adalah bagi mengisi masa senggang keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya beberapa masalah dihadapi kementerian ketika menganjurkan kejohanan e-Sports sebelum ini.

Masalah utama katanya berkaitan kelajuan internet yang kurang memuaskan, kekurangan peralatan komputer dan peralatan sokongan kurang selain ruang penganjuran (Studio atau Konti) yang tidak kondusif.

“Bagi mempopularkan sukan e-Sports di negeri ini, kementerian saya juga menjalankan kajian terperinci meliputi kos peralatan serta kemudahan talian internet untuk penyediaan prasarana yang akan melibatkan jalinan kerjasama bersama rakan strategik berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|