Lahad Datu: Dua maut manakala empat lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Tungku Makuau, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 pagi.
Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan Perodua Myvi itu berada dalam keadaan terbalik di dalam longkang di tepi jalan berkenaan.
“Terdapat enam mangsa terlibat dan empat mangsa yang mengalami kecederaan sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang meninggal dunia kemudiannya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.49 pagi.
-Deasoka