Dua gegaran dirasai di Wisma Dang Bandang

Dua gegaran dirasai di Wisma Dang Bandang

Kota Kinabalu: Ratusan kakitangan pelbagai agensi kerajaan di bangunan Wisma Dang Bandang, Jalan Kampung Air, di sini, bergegas keluar apabila berlaku dua gegaran di bangunan berkenaan, hari ini.

Gegaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan semua pekerja di bangunan berkenaan terus keluar untuk berkumpul di tempat selamat.

Keadaan siling bilik mesyuarat yang runtuh akibat daripada gegaran berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Difahamkan, gegaran itu turut mengakibatkan runtuhan siling di bilik mesyuarat sebuah agensi kerajaan di tingkat 11 bangunan berkenaan.

Antara agensi kerajaan yang ditempatkan di bangunan berkenaan adalah Jabatan Penerangan, Jabatan Meteorologi, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan beberapa lagi agensi kerajaan lain.

Orang ramai berada di tempat berkumpul selamat di pekarangan bangunan berkenaan sementara menunggu pemantauan yang dijalankan pasukan bomba. Pix Ihsan Bomba

Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat daripada gegaran berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman kejadian berkenaan pada jam 3.32 petang.

Katanya, semua orang awam diarahkan untuk terus berada di tempat berkumpul selamat di pekarangan bangunan berkenaan sementara pemantauan dijalankan.

“Mengikut laporan diterima, berlaku dua gegaran yang dipisahkan dengan hanya beberapa saat. Kita dimaklumkan, gegaran pertama lebih kuat berbanding gegaran kedua,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|