Cubaan seludup minuman keras gagal

Cubaan seludup minuman keras gagal

Labuan: Cubaan menyeludup keluar minuman keras dari pulau bebas cukai itu gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), awal pagi tadi.

Semua minuman keras tanpa cukai itu cuba diseludup keluar dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca, jam 5.20 pagi.

Anggota Maritim memeriksa bot yang ditahan selepas didapati membawa minuman keras tanpa cukai di perairan Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 4.4 batu nautika dari Labuan.

Katanya, bot ronda cuba menghampiri, namun juragan bot itu bertindak memecut laju menuju ke kawasan paya bakau berhampiran Kampung Balangkasan, Menumbok.

Bot gentian kaca yang membawa minuman keras ditahan

“Setiba di kawasan paya bakau berhampiran, juragan bot bertindak meloloskan diri serta meninggalkan bot bersama muatan minuman keras.

“Pemeriksaan mendapati bahawa bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran serta membawa muatan 1,920 tin minuman keras pelbagai jenis tanpa cukai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot serta muatan disita dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM30,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

Sehubungan itu, Nudin menasihati komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang salahlaku jenayah di laut kepada Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|