Covid-19 Sabah: 909 kes hari ini, tertinggi sejak September lalu

Covid-19 Sabah: 909 kes hari ini, tertinggi sejak September lalu

Kota Kinabalu: Jangkitan Covid-19 di Sabah melonjak sekali ganda kepada 909 kes hari ini berbanding 476 kes semalam, menjadikannya angka tertinggi dalam tempoh empat bulan sejak akhir September lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah tertinggi direkodkan di Sandakan, sebanyak 185 kes, diikuti Penampang (115) dan Kota Kinabalu (101).

Katanya, selain tiga daerah itu yang mencatat tiga angka, sebanyak 16 daerah lagi mencatat kes dua angka, diikuti empat daerah yang mencatat kes satu angka, manakala empat daerah selebihnya tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Sabah mencatat peningkatan kes baharu hampir dua kali ganda hari ini iaitu 909 kes, naik sebanyak 433 kes berbanding semalam. Kali terakhir Sabah mencatatkan kes di atas paras 900 kes ialah pada 30 September 2021, kira-kira empat bulan lalu.

“Terdapat tiga daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini dengan daerah Sandakan mencatat angka tertinggi sebanyak 185 kes (+92), diikuti Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).

“Jangkitan yang berpunca daripada kes bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan 37.84 peratus (70 kes), Penampang 33.04 peratus (38 kes) dan Kota Kinabalu 55.45 peratus (56 kes),” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, antara daerah mencatat kes dua angka yang tinggi ialah Tuaran 86 kes (+42), Lahad Datu 57 kes (+40), Beaufort 57 kes (+39), Kota Marudu 53 kes (+37) dan Papar 36 kes (+27).

Secara keseluruhan, katanya hampir seluruh daerah di Sabah mencatat peningkatan kes dengan 10 daripadanya mencatatkan peningkatan pada kadar dua angka.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 89 kes datang daripada sembilan kluster aktif termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

“Kesemua kluster baharu hari ini adalah kategori kluster institusi pendidikan,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 4 Februari 2022
Sabah 909 (476)

Sandakan 185 (93)
Penampang 115 (71)
Kota Kinabalu 101 (77)
Tuaran 86 (44)
Lahad Datu 57 (17)
Beaufort 57 (18)
Kota Marudu 53 (16)
Papar 36 (9)
Tawau 31 (32)
Ranau 30 (22)
Kuala Penyu 24 (1)
Putatan 22 (13)
Semporna 16 (18)
Beluran 16 (1)
Kinabatangan 16 (7)
Kudat 11 (4)
Kota Belud 11 (11)
Tambunan 10 (1)
Keningau 10 (8)
Kunak 9 (6)
Tenom 6 (3)
Sipitang 5 (0)
Telupid 2 (1)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (2)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 3 Februari 2022

Kluster Baharu

  1. Kluster Jalan Pendidikan
    Ranau, Ranau 25(+11)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  2. Kluster Sungai Batang
    Batu Sepuluh, Sandakan
    50(+36)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  3. Kluster Jalan Tandek,
    Kota Marudu 35(+13)
    (Kluster Institusi Pendidikan)
  4. Kluster Jalan Taman Beringin,
    Kota Kinabalu 25(+19
    (Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|