Kota Kinabalu: Sebuah syarikat kapal nelayan dikenakan kompaun RM500 selepas dikesan membuang sampah di kawasan pesisir laut, di sini, baru-baru ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-undang KeciI Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap), 1983 Pindaan 2005.
Katanya, perlakuan membuang sampah berkenaan berjaya dirakam oleh seorang individu yang sudi tampil menjadi saksi.
“Pihak syarikat berkenaan akur dengan kesalahan yang dilakukan oleh pekerja mereka dan menjelaskan kompaun yang dikenakan dengan sewajarnya.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu seringkali menerima aduan berkaitan pembuangan sampah ke laut dari kapal-kapal nelayan dan akan menggiatkan operasi intipan serta risikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Noorliza berkata, para pemilik kapal nelayan dinasihatkan supaya sentiasa mengingatkan dan memantau para pekerja mereka.
Katanya, setiap pemilik kapal perlu memastikan pekerja mereka tidak membuang sampah ke laut dengan sewenang-wenangnya.
-Deasoka