BN ambil pendirian berkecuali

BN ambil pendirian berkecuali

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian baharu yang berkecuali mengenai kerjasama untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia berdasarkan maklum balas Ahli Parlimen BN yang ditanya media selepas mesyuarat di Kuala Lumpur, hari ini berhubung hala tuju gabungan itu.

Antara yang memberikan maklum balas ialah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengatakan BN tidak menyokong siapa-siapa dalam proses pembentukan kerajaan persekutuan.

“Kita tidak sokong siapa-siapa,” katanya ketika ditanya media sejurus keluar dari bilik mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, tiada nama dan surat akuan (SD) dikemukakan untuk menyokong mana-mana pemimpin dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Difahamkan, BN lebih cenderung untuk menjadi pembangkang di Dewan Rakyat sejajar kedudukannya yang hanya memenangi 30 kerusi pada PRU15.

Semalam, BN dilihat mahu bekerjasama dengan PH berdasarkan pertemuan di antara pemimpin kedua-dua gabungan itu di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Istana Negara ketika ini menjadi tumpuan selepas tempoh untuk mengemukakan sokongan SD kepada calon Perdana Menteri tamat pada jam 2 petang tadi.

Dua calon Perdana Menteri iaitu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengetahui kedudukan masing-masing selepas Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan baginda.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|