Sepang: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menasihatkan penumpang yang ingin mengambil tarikh penerbangan pada waktu puncak supaya membeli lebih awal tiket penerbangan bagi mengelak harga yang tinggi terutama pada musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat menjelaskan, apabila waktu puncak permintaan meningkat sekali gus menyebabkan harga turut melonjak.
“Kena beli awal, sebab bergantung kepada kapasiti dan konsep AirAsia kena beli terlebih dulu kalau tidak harga meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.
“Bagaimanapun, saya pasti apa saja yang kita lakukan, harga kita masih murah berbanding pesaing lain,” katanya pada sesi taklimat kepada media sempena pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April di ibu pejabat korporat AirAsia, RedQ, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya harga tiket penerbangan bagi penumpang yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak meningkat terutama pada musim perayaan.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan harga tiket penerbangan meningkat berikutan kos operasi juga meningkat.
“Bagaimana nak beri tambang yang lebih murah, sukar untuk kami beroperasi disebabkan kos yang sudah meningkat termasuk rantaian bekalan dan kos logistik meningkat sehingga 30 peratus.
“Namun point kami dari segi harga masih kompetitif, masih dalam kategori boleh beli lagi tetapi kalau pembelian dilakukan saat akhir memang harga akan naik bagaimanapun 90 peratus penumpang kami masih menikmati kadar harga kami,” katanya.
Riad dalam pada itu menekankan bahawa Sabah dan Sarawak adalah negeri yang sangat penting bagi syarikat penerbangan itu.
“Memang kita kena hadapi pelbagai kos tetapi apa yang saya boleh pastikan, perspektif dari AirAsia bahawa Sabah, Sarawak adalah sangat penting.
“Kami akan sentiasa memberikan harga yang terbaik untuk memastikan rakyat masih boleh ‘terbang’ dan mampu untuk balik kampung, pergi kerja, sambut Kaamatan atau perayaan lain,” katanya.
-Deasoka