AirAsia buka semula penerbangan antarabangsa hubungkan Sabah

AirAsia buka semula penerbangan antarabangsa hubungkan Sabah

Sepang: AirAsia mengalu-alukan pengumuman kerajaan yang akan membuka sempadan negara bermula 1 April depan dengan mengembalikan semula penerbangan antarabangsa termasuk di Sabah yang dihentikan sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sudah tiba masanya negara kembali semula kepada keadaan sebelum pandemik.

“Di Sabah, kita mempunyai penerbangan terus dari destinasi antarabangsa seperti Bangkok, Guangzhou, Shenzhen dan Singapura, saya fikir ini perkara yang perlu kita tetapkan berikutan kawalan sempadan.

“Dari perspektif saya, pengoperasian perlu dilakukan semula, kita harus kembali kepada normal,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat korporat AirAsia, RedQ, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada syarikat penerbangan tambang rendah itu bersedia untuk membuka semula dan menambah laluan antarabangsa yang baharu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam.

Diminta mengulas jika AirAsia merancang untuk membuka laluan antarabangsa yang baharu menghubungkan Sabah, beliau berkata, ia antara dalam perancangan namun bergantung kepada pembukaan sempadan negara luar ketika ini.

“Ya, sudah tentu (laluan antarabangsa baharu) tetapi bergantung kepada negara berkenaan, kalau dia bagi kita beroperasi ia menjadi keutamaan kami.

“Kalau ada pembukaan sempadan-sempadan dari negara lain, kia akan beri keutamaan dan kita lihat boleh atau tidak untuk kita lakukan,” katanya.

Tambah Riad lagi, untuk penerbangan domestik tiada sebarang masalah dan penerbangan antara Kuching-Langkawi adalah laluan terbaharu yang dilancarkan.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada AirAsia ada mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sabah berhubung prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan semula sempadan negara, beliau dimaklumkan bahawa SOP akan diselaraskan mengikut pengumuman kerajaan.

“Perbincangan yang paling baharu pada minggu lalu, setakat ini kerajaan Sabah akan ikut apa yang diumumkan iaitu SOP sama.

“InsyaAllah, kalau betul… ini akan membantu kerajaan negeri dengan mendapatkan lebih banyak pelawat bukan saja dari Semenanjung tetapi luar negara seperti Singapura.

“Dari perspektif pihak syarikat penerbangan ia sangat melegakan jadi kita tidak perlu ubah SOP, ikut semua saja. Keputusan akhir SOP kita akan terima daripada kerajaan supaya penumpang bersedia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|