Bekas Timbalan Pengarah JANS dibebas tanpa dilepas, sebelum dikompaun RM30 juta

Bekas Timbalan Pengarah JANS dibebas tanpa dilepas, sebelum dikompaun RM30 juta

Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong, 56, hari ini dibebaskan tanpa dilepaskan daripada 146 pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai lebih RM32 juta.

Bagaimanapun, sejurus selesai prosiding di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian mengumumkan bahawa Chee Kong akan dikenakan kompaun RM30 juta yang jika gagal dibayar menyebabkan tertuduh didakwa penuh di mahkamah.

Faridz Gohim ketika ditemui media di Mahkamah Kota Kinabalu.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah dalam sidang media selepas selesai prosiding mahkamah, berkata kompaun sebanyak RM30 juta dikenakan terhadap tertuduh sebagai satu bentuk pemulangan aset di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAM) 2001.

Beliau berkata, kompaun itu adalah hukuman atau tindakan punitif terhadap tertuduh dan secara tidak langsung sebagai satu pengakuan salah.

“Dengan jumlah ini ia adalah satu kejayaan kepada pihak pendakwaan dan sekiranya tertuduh tidak membayar kompaun, dia akan didakwa penuh dalam mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mahkamah terhadap Chee Kong itu tidak menjejaskan kes terhadap tiga lagi individu lain yang turut menghadapi pertuduhan berkaitan.

Terdahulu, ketika prosiding dalam mahkamah, Hakim Abu Bakar Manat melepaskan tanpa membebaskan Chee Kong selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah bahawa pihak SPRM dan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan semua 146 pertuduhan terhadap tertuduh.

Mahadi berkata, tertuduh juga sudah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Pada 13 Disember 2017, Chee Kong mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang dilakukan antara 2010 hingga 2016 bernilai lebih RM32 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|