Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster institusi pendidikan diisytihar hari ini

Covid-19 Sabah: Dua lagi kluster institusi pendidikan diisytihar hari ini

Kota Kinabalu: Dua lagi kluster baharu berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah hari ini, masing-masing di Kota Marudu dan Keningau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia menjadikan sebanyak 42 kluster dicatatkan di Sabah setakat tahun ini, manakala satu kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Trayon berkaitan tempat kerja di Kinabatangan.

Beliau berkata kluster baharu di Kota Marudu hari ini membabitkan jangkitan dalam kalangan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada.

“Kes indeks ialah seorang pembantu pengurusan murid di asrama SK Lampada berumur 36 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 15 Februari.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan sebanyak 24 lagi kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes setakat hari ini.

“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster di Keningau hari ini dinamakan Kluster Bukit Langsat yang membabitkan pelajar Asrama Perempuan, Blok Cempaka dan Blok Dahlia, Institut Pendidijan Guru (IPG) Kampus Keningau.

Katanya, kes indeks ialah seorang pelajar perempuan berumur 21 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 10 Februari.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 24 lagi kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 25 kes positif setakat hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|