Tawau: Seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 169.6 gram tiga tahun lalu.
Hukuman terhadap tertuduh, Matin Sahid, 34, itu dijatuhkan hakim Dr Lim Hock Leng pada prosiding di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini.
Ketika penghakiman dibacakan, Matin yang juga seorang penganggur kelihatan menitiskan air mata sambil menundukkan kepala.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki dadah dalam satu serbuan di Kampung Mangga, Kalabakan pada 17 Oktober 2018.
Serbuan oleh pasukan polis di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada jam 1 tengah hari mendapati tertuduh bersendirian sedang leka membungkus dadah jenis syabu.
Menyedari kehadiran polis, tertuduh bertindak melarikan diri sebelum berlaku pergelutan namun tertuduh berjaya ditahan.
Hasil serbuan berkenaan, polis berjaya merampas 169.6 gram dadah jenis syabu, peralatan membungkus dadah seperti alat penimbang digital, penyedut minuman yang diubah suai serta plastik pembungkus lutsinar.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran menampilkan tiga orang saksi manakala tertuduh yang diwakili peguambela Muhammad Karim hanya menampilkan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh bersalah memiliki dadah manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sebelum hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh.
-Deasoka