Bakat Skrin Sabah beri anugerah khas kepada penggiat seni

Bakat Skrin Sabah beri anugerah khas kepada penggiat seni

Kota Kinabalu: Bakat Skrin Sabah 2022 yang julung kali diadakan mengiktiraf sumbangan penggiat seni tempatan yang terbabit dalam pembangunan industri seni di Sabah dan negara.

Majlis itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam memberi anugerah kepada beberapa nama yang tidak asing lagi dalam industri seni di Sabah.

Deddy M Borhan menerima Anugerah Khas (Perfileman) sempena Bakat Skrin Sabah 2022.

Antaranya, pengarah yang juga pelakon Sabah era 1970-an dan 1980-an, Datuk Deddy M Borhan diberi Anugerah Khas (Perfileman) atas sumbangannya pernah menghasilkan filem box-office di negara ini.

Selain Deddy, turut menerima Anugerah Khas ialah pengarah drama, Tony Francis Gitom bagi kategori Drama TV dan Drama Bersiri berikutan kejayaannya mengarahkan pelbagai drama televisyen yang mendapat sambutan baik penonton.

Tony Francis Gitom menerima Anugerah Khas (Drama TV dan Drama Bersiri) sempena Bakat Skrin Sabah 2022.

Tidak ketinggalan, penyanyi dan pelakon yang terkenal dengan lagu ‘Orang Kita’, Abu Bakar Ellah juga diberikan Anugerah Khas bagi kategori Seni Suara dan Penciptaan Lagu.

Seorang lagi penerima Anugerah Khas pada majlis itu ialah Dayang Hasnah Pangiran Ibrahim bagi kategori Seni Lakon.

Penyampaian anugerah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Prof Dr Mohd Nasir Ibrahim.

Mengenai program Bakat Skrin Sabah 2022, pengarahnya, Ramli Carlo berkata, program itu bermula pada Mac lalu membabitkan seramai 66 peserta dari seluruh negeri.

Program itu, katanya mengenal pasti bakat anak tempatan selain mahu mengembangkan lagi bakat sedia ada ke arah menyemarakkan industri kreatif di Sabah dan dijangka diadakan sebagai aktiviti tahunan.

“Kita juga akan menjemput lebih ramai rakan strategik termasuk FINAS sendiri untuk bekerjasama dengan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, program berkenaan sangat baik dan mendapat sokongan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan seni tempatan.

Jelasnya, Sabah memang diketahui memiliki ramai individu berbakat besar dalam pelbagai bidang yang berpotensi dibangunkan secara lebih sistematik untuk menyumbang ke arah lebih besar dalam industri kreatif.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|