Saya sihat, tenang – Bung Moktar

Saya sihat, tenang – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, malam ini menjelaskan keadaan kesihatannya dalam keadaan yang baik dan masih berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding mahkamah Jumaat lalu.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook beliau, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mengesahkan beliau dalam keadaan yang sihat seperti biasa.

Gambar lama yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab mengambarkan Bung Moktar sakit dan sedang menerima rawatan.

“Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh-musih politik, jangan bimbang (don’t worried) saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah,” katanya.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, beliau akan bersama rakyat dan penyokong BN di Kota Belud pada 10 September ini untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Jentera Pilihan Raya Kota Belud serta Tuaran.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abdul Wahid ketika dihubungi berkata sejak petang tadi beliau tidak henti-henti menerima panggilan dan WhatsApp daripada beberapa pemimpin dan rakan Bung Moktar bertanyakan khabar beliau.

Ia berikutan sekeping gambar yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Bung Moktar terbaring di atas katil sambil diziarahi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin seolah-olah memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan itu sakit dan sedang menerima rawatan.

“Gambar itu merupakan gambar lama sekitar tahun 2015 atau 2016 ketika Bung Moktar balik dari menjalani rawatan buah pinggang di China. Ia sengaja disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi Bung Moktar dalam kerjaya politiknya,” jelas Jaafar.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak mempercayai berita palsu yang ditularkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|