Arthur anjur rumah terbuka Hari Raya

Pensiangan: Walaupun bukan beragama Islam dan tidak menyambut Aidilfitri, tetapi itu bukan halangan untuk Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya di Kampung Menawo Ulu, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, majlis itu dihadiri penduduk sekitar yang datang dari pelbagai latar belakang.

Arthur beramah mesra dengan penduduk kampung pada majlis rumah terbuka Hari Raya di Kampung Menawo Ulu, Pensiangan.

“Ini adalah usaha saya untuk sentiasa memastikan perpaduan kita terjaga supaya masyarakat kita hidup dalam harmoni. Kita mengamalkan konsep #KeluargaMalaysia sebagai usaha untuk memulihkan negara dalam pasca pandemik Covid-19.

“Pelbagai juadah dihidangkan untuk memenuhi selera pengunjung, yang paling laku ialah sate resepi Kajang, ketupat, soto dan serunding tuhau,” tulisnya dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Arthur menunjukkan bakat beliau mengipas sate pada majlis rumah terbuka Hari Raya di Kampung Menawo Ulu, Pensiangan.

Beliau dalam pada itu berkata, majlis sambutan Hari Raya itu turut diisi dengan pelbagai program kepada penduduk kampung berkenaan.

“Antara pengisian juga adalah cabutan tiket bertuah, penyerahan sijil penghargaan kepada beberapa individu yang telah berbakti kepada masyarakat dan duit raya untuk semua kanak-kanak yang hadir.

“Saya mengadakan majlis ini dengan tujuannya untuk mengembalikan kemeriahan musim perayaan kita setelah berperang dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun yang lalu. Semoga bulan perayaan ini menjadi meriah untuk kita semua,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|