Kota Kinabalu: Angka mangsa terjejas akibat air pasang besar dan banjir di negeri ini meningkat sebanyak 17 orang menjadikan jumlah keseluruhan 1,606 mangsa, setakat jam 4 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, ia membabitkan seramai 359 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada tiga buah daerah, iaitu Pitas, Kota Belud dan Sandakan.

“Daerah Pitas terus mencatatkan jumlah mangsa terkesan air pasang besar tertinggi, dengan 766 mangsa daripada 177 KIR.
“Kesemua mangsa-mangsa ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sudah diaktifkan.
“Antaranya ialah Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kg. Mempakad (163 orang), dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (156 orang).
“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 orang), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (55 orang) dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (16 orang),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Sandakan mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi, dengan 705 mangsa daripada 126 KIR dan kini ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.
“Manakala, jumlah mangsa terjejas banjir di Kota Belud adalah seramai 135 orang daripada 56 KIR.
“Mereka ditempatkan di dua buah PPS yang beroperasi di daerah berkenaan, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (73 mangsa) dan Dewan SK Pekan (62 mangsa),” katanya lagi.
-Deasoka