Kota Kinabalu: Cuaca mendung dan hujan berterusan antara punca cuaca sejuk di beberapa daerah di negeri ini, semalam, khususnya di ibu negeri.
Pengarah Pejabat Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim berkata, berdasarkan rekod pencerapan pada 26 Disember , suhu terendah direkodkan di Stesen Meteorologi Kota Kinabalu adalah 22.3 darjah Celsius.
Katanya, menurut rekod pencerapan yang diperolehi, suhu lebih rendah pernah direkodkan dalam bulan ini iaitu 19.7 darjah Celsius.
“Pada 25 Disember, suhu terendah direkodkan adalah 22.4 darjah Celsius hampir sama dengan yang dicatatkan pada 26 Disember.
“Keadaan cuaca sejuk itu mungkin disebabkan cuaca yang mendung, ditambah dengan hujan yang berlaku sepanjang hari dalam tempoh itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial orang ramai berkongsi tangkap layar bacaan suhu di tempat masing-masing yang didakwa rendah berbanding hari-hari biasa.
-Deasoka