Amaran hujan berterusan hingga esok, orang ramai diminta waspada

Amaran hujan berterusan hingga esok, orang ramai diminta waspada

Kota Kinabalu: Orang awam dinasihatkan lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ramalan hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Sarawak dan Labuan sehingga esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata ia berdasarkan kedudukan Ribut Tropika Kuat Nesat yang kini berada di kedudukan 19.7°U 117.2°T di barat laut Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat, menuju Pulau Hainan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan angin kencang di Laut China Selatan dan ramalan terkini menunjukkan sistem itu dijangka meningkat ke tahap Taufan menjelang malam ini.

“Orang awam di kawasan terlibat dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobile myCuaca, dan media sosial rasmi.

“Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

MetMalaysia pagi tadi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sarawak, Sabah dan Labuan yang dijangka berlaku sehingga esok.

Dalam pada itu, katanya amaran angin kencang dan laut bergelora Kategori Pertama telah dikeluarkan pada 9.50 malam, 15 Oktober, dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 km/jam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan.

“Ia khususnya di perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan dan Labuan. dalam tempoh 18 Oktober sehingga 20 Oktober ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|