Aksi ‘stunt’ di jalan raya, tiga termasuk dua remaja ditahan

Aksi ‘stunt’ di jalan raya, tiga termasuk dua remaja ditahan

Penampang: Dua remaja antara tiga ditahan selepas dikesan melakukan aksi ‘stunt’ ketika menunggang motosikal dalam operasi Op Samseng Jalanan di Jalan Kota Kinabalu-Papar, di sini, hari ini.

Dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi itu, semua individu berusia 15 hingga 26 tahun ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua suspek dikesan ketika rondaan dilakukan di sekitar pusat beli belah di Putatan.

Katanya, ketiga-tiga individu terbabit dikesan melakukan aksi ‘stuntman’ ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan dan polis terus bertindak mengekori suspek.

“Ketika intipan dilakukan, ketiga-tiga suspek sedang leka berlumba sesama sendiri dengan melakukan tunggangan secara ‘zig zag’ motosikal di sekitar Putatan.

“Semua suspek yang tidak menyedari kehadiran polis berjaya ditahan di lampu isyarat berdekatan sebuah stesen minyak di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya.

“Antara aksi berkenaan termasuk melakukan lagak ngeri ‘superman’ dan melanggar lampu isyarat serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris berkata, polis menyita ketiga-tiga motosikal berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis turut mengeluarkan lima saman berkenaan atas kesalahan mengubahsuai ekzos motosikal, halangan lalulintas, nombor plat motor tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal tidak sempurna.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000.

“Jika sabitan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, dalam operasi sama, pihaknya memeriksa 30 kenderaan dan mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas.

“Polis amat mengambil serius terhadap samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini, tindakan tegas bakal diambil kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini.

“Masyarakat terutamanya remaja dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan, termasuk peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala negatif ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|