Akar umbi sokong PBS bertanding di Kota Belud

Akar umbi sokong PBS bertanding di Kota Belud

Kota Belud: Ahli akar umbi Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong hasrat parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sokongan itu disuarakan ketua-ketua cawangan PBS ketika pertemuan untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung hasrat parti itu kembali bertanding di kerusi berkenaan.

Perjumpaan bersama Ketua Cawangan dan Ketua PDM PBS di Kota Belud.

Pengarah Strategi PBS Kadamaian, Walter Kandayon, berkata pertemuan hari ini yang membabitkan ketua cawangan PBS dan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mukim Woriu dan Losou adalah sebahagian siri jelajah untuk mendengar pandangan ahli berhubung hasrat parti itu.

Katanya, siri jelajah itu wajar dan penting sebelum kepemimpinan parti memutuskan dama ada meletakkan calon atau tidak pada PRU akan datang.

Jelasnya, PBS pernah mewakili Parlimen Kota Belud melalui Datuk Maidom Pansai yang memenangi kawasan itu selama dua penggal berturut-turut pada PRU1986 dan PRU1990.

“Sebagai parti berbilang kaum, PBS sangat relevan di Kota Belud kerana penduduknya yang terdiri daripada pelbagai suku kaum iaitu Dusun dan Bajau, selain Irranun dan kaum Cina, khususnya suku Hakka.

“Daerah ini mempunyai lebih 100,000 penduduk, manakala statistik pemilih terkini sehingga suku 2/2021 yang diwartakan pada 26 Ogos 2021 menunjukkan daerah ini mempunyai 60,919 pengundi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, dalam perjumpaan hari ini, semua pemimpin cawangan yang hadir menyokong dan mendesak supaya PBS meletakkan calon dalam PRU-15 akan datang.

Katanya, pada Mesyuarat Agung Tahunan PBS N 11 Kadamaian tahun lalu, perwakilan turut meluluskan usul supaya PBS bertanding di Kota Belud pada PRU akan datang.

“Kelulusan usul itu disokong sebulat suara oleh perwakilan berasaskan keyakinan bahawa PBS akan merampas kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU akan datang.

“Sebagai parti tempatan tertua di Sabah, PBS adalah parti pilihan utama kerana perjuangannya konsisten menghormati dan terus menyuburkan demokrasi, mempertahankan keadilan dan berjuang untuk hak-hak negeri Sabah.

“Selain mengekalkan rekod kepimpinan yang bersih dan berintegriti, populariti parti juga melonjak naik selepas beberapa siri kejayaan parti termasuk berjaya menerajui perjuangan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Parlimen Kota Belud ketika ini disandang Parti Warisan (WARISAN) melalui wakilnya, Isnaraisah Munirah Majilis yang memenangi kerusi berkenaan pada PRU 2018.

Walter berkata, jentera PBS juga terus berusaha memperkasa parti itu di Kota Belud menerusi pelbagai langkah termasuk penyusunan semula jawatankuasa bahagian PBS di DUN Pintasan dan Tempasuk.

Katanya, ia adalah bukti keseriusan parti itu untuk memenangi dan merampas kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU akan datang.

Sementara itu, beliau berkata, selain mendapatkan maklum balas, siri jelajah yang diketuai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan itu turut menyelitkan program merekrut ahli dalam kalangan orang muda.

“Lebih 100 pemohon menyerahkan borang menyertai PBS kepada Timbalan Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Mondin R Gimbun yang kebanyakannya adalah generasi muda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|