Air sungai Kampung Rugading dikhuatiri tercemar

Tuaran: Keadaan air di Sungai Kampung Rugading, di sini, dikhuatiri tercemar selepas berlaku tumpahan bahan kimia, semalam.

Kejadian disedari kira-kira jam 6 petang sebelum pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan dikerah ke lokasi untuk pemantauan.

Pasukan Hazmat JBPM Sabah mengambil sampel air dan memantau keadaan sungai Kampung Rugading berikutan tumpahan kimia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai serta pasukan Hazmat bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan Hazmat terus mengambil bacaan air sungai dan mendapati bacaan adalah PH 6.8 atau berada pada tahap neutral.

“Walaubagaimanapun, terdapat bahan kimia dikesan berdasarkan alat pengesan hazmat yang tersenarai pada bahan sisa buangan berjadual pada larutan air sungai berkenaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditangguhkan pada jam 10.30 malam tadi dan disambung semula hari ini bersama Jabatan Kimia dan JAS.

Katanya, pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan dan sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|