Lapan sekolah terjejas akibat banjir di Tenom, Beaufort dan Putatan

Kota Kinabalu: Hujan berterusan di beberapa daerah sejak semalam menyebabkan lapan sekolah di negeri ini terjejas akibat dilanda banjir hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, daerah yang terlibat ialah di Beaufort, Tenom dan Putatan.

Keadaan banjir yang berlaku di SK Gumisi, Tenom.

“Antara sekolah yang terjejas akibat banjir kilat ialah Sekolah Menengah Saint Paul, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago dan SK Bukau di Beaufort, manakala di Tenom melibatkan SK Gumisi, SK Ladong Sapong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Syn dan SK Inubai serta sebuah sekolah di Putatan iaitu SK Tombovo.

“Kesemua sekolah melibatkan seramai 985 murid dan pelajar yang terjejas akibat banjir berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, SK Tombovo kini dalam proses pembersihan akibat banjir kilat berkenaan.

Jalan raya runtuh dan terputus antara kerosakan akibat banjir di Tenom.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau dimaklumkan bahawa punca banjir itu disebabkan infrastruktur awam iaitu sistem perparitan persekitaran.

“Saya juga dapat makluman banyak rumah-rumah di kampung berdekatan dilanda banjir.

“Cuma untuk sekolah kalau banjir seperti ini kita akan salurkan peruntukan untuk mengganti mana-mana perabot rosak dan membaik pulih mana-mana struktur bangunan yang rosak akibat banjir.

“Saya sudah arahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit untuk membuat pemantauan secara dekat,” katanya menerusi maklum balas di Facebook berhubung banjir kilat menyebabkan beberapa sekolah terjejas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|