40 pasukan rebut kejuaraan Piala Samora

40 pasukan rebut kejuaraan Piala Samora

Kota Kinabalu: Sebanyak 40 pasukan bakal berentap bagi merebut kejuaraan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Samora Cup, pada 8 dan 9 Oktober depan.

Kejohanan anjuran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu terbahagi kepada dua kategori iaitu bawah 11 dan 12 tahun.

Omar Maya Amat

Kejohanan selama dua hari yang diadakan di Stadium Likas dan Padang Sukma itu ditaja oleh Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) yang diketuai presidennya Datuk Dr Jelani Hamdan.

Ia dijangka akan dihadiri lebih 1,000 orang membabitkan pemain, penyokong dan pegawai perlawanan.

Pengerusi penganjur kejohanan, Omar Maya Amat berkata, kejohanan ini adalah salah satu usaha dalam melahirkan lebih banyak bakat baru bola sepak di negara ini.

Katanya, menerusi penganjuran kejohanan khusus untuk kanak-kanak itu akan membuktikan, negara tidak akan ketandusan bakat baru sekali gus mampu bersaing di kejohanan antarabangsa kelak.

“Kita amat komited dalam melahirkan lebih ramai lagi pemain bola sepak di dalam negara di mana ia akan menyumbang kepada masa depan skuad bola sepak negeri dan negara.

“Saya pasti menerusi komitmen awal serta dedikasi ibu bapa di peringkat akar umbi ini, pemain cilik hari ini bakal menjadi pelapis pemain-pemain bola sepak kebangsaan satu hari nanti,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Omar Maya berkata, beliau juga amat terharu melihat semangat kanak-kanak dan ibu bapa yang sanggup hadir untuk menjayakan kejohanan itu nanti.

“Saya amat berharap, minat mereka terhadap bola sepak terus dipupuk agar semangat mereka untuk beraksi tidak terpadam,” katanya.

Dalam kejohanan itu, juara kejohanan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala, medal dan sijil.

Naib juara dan tempat ketiga pula, masing-masing akan menerima wang tunai RM600 dan RM300 bersama piala, medal dan sijil.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|